Friday, January 04, 2008

Belajar Bahasa Inggeris Melalui Blog

Percaya atau tidak, sebahagian daripada penambahbaikan dalam penguasaaan Bahasa Inggeris, yang telah saya capai sejak beberapa bulan kebelakangan ini, adalah hasil daripada minat saya menulis dalam blog.

Blog memberi saya ruang untuk melatih-tubi penggunaan Bahasa Inggeris, yang walaupun pada ketika ini masih lagi boleh dikatakan lemah, tetapi telah menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan.

Menulis dalam blog juga memaksa saya memerah otak untuk meluahkan apa sebenarnya yang ingin saya perkatakan.

Bahasa Inggeris memanglah bukan satu bahasa yang mudah untuk dipelajari. Sememangnya setiap bahasa asing akan sukar untuk dikuasai kecuali kita berkali-kali menggunakannya dalam sehari.

Baca sebanyak-banyak

Kita perlu membaca supaya kita akan berjumpa perkataan baru dan dengan itu otak kita akan disedarkan dengan kewujudan perkataan itu, dan bagaimana perkataan baru itu berfungsi dan hidup di kalangan perkataan lain dalam satu ayat.

Membaca membolehkan kita menemui perkataan baru dalam habitat semulajadinya -- iaitu antara perkataan dalam satu struktur ayat.

Jangan lepaskan peluang untuk menulis dalam Bahasa Inggeris

Selepas membaca seluas-luasnya, seseorang yang ingin menguasai Bahasa Inggeris perlu menulis sebanyak-banyaknya.

Tetapi pada kebanyakan orang, persekitaran kerjanya tidak memerlukan dia menulis dalam Bahasa Inggeris setiap hari. Oleh itu peluang untuk menulis dalam Bahasa Inggeris hampir tidak ada.

Di sinilah blog dapat mengisi ruang kosong itu. Blog, atas sifatnya sebagai laman web yang perlu dikemaskini secara berkala dalam tempoh dua atau tiga kali seminggu, akan "memaksa" seseorang itu menulis. Jika tidak blognya akan mati dan layu.

Bertutur sebanyak-banyaknya dalam Bahasa Inggeris

Bertutur dalam Bahasa Inggeris merupakan satu lagi cara untuk memperdalamkan penguasaan dalam bahasa ini.

Di Malaysia bagaimanapun, kita tidak ada ruang yang banyak untuk bertutur dalam bahasa asing ini. Jika adapun, Bahasa Inggeris yang kita pertuturkan hanyalah Bahasa Inggeris rojak atau apa yang dikenali sebagai manglish.

Malangnya ramai orang tahu cara untuk belajar Bahasa Inggeris secara percuma -- tulis, baca dan tutur -- tapi ramai yang hanya menggoyangkan kaki tanpa berbuat apa-apa untuk memperbaiki penguasaan Bahasa Inggeris mereka.

Sambil itu mereka terus mempersalahkan langkah kerajaan kerana menggantikan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dengan Bahasa Melayu pada suatu ketika dahulu.

Barangkali ungkapan "malangnya" tidaklah tepat untuk menggambarkan sikap yang sebegini. Barangkali ungkapan yang paling tepat ialah "padan muka".

No comments: